Atok Angah Banjar

             Salam sejahtera untuk anda yang membuka halaman ini.

           Pertamanya saya mengucap syukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaan dan keizinan NYA untuk saya menerbitkan halaman web ini. Walaupun ianya tidak seberapa canggih, akan tetapi saya tetap gembira, seronok dan bersyukur kerana dapat juga melaksanakannya.

           Sebenarnya dunia komputer ini adalah baru bagi saya, ia itu mulai tahun 2001. Memandangkan usia saya yang kini sudah menjangkau hampir setengah abad, adalah agak sukar untuk mempercayainya. Saya bukannya berkelulusan tinggi, cuma sekadar lulus SPM 30 tahun yang lalu. Saya juga tidak pernah menyambung pelajaran di mana mana IPTA/IPTS. Sebaliknya selepas tamat tingkatan 5, saya mula merantau dan mencari apa saja kerja yang boleh saya lakukan. Bukannya kerja baik baik. Tetapi hanyalah bekerja sebagai boroh boroh kasar atau kerja di kilang kilang. Saya juga berasal dari keluarga yang miskin atau susah. Jadi orang macam saya ni manalah ada peluang untuk melanjutkan pelajaran,bagi mendapatkan kerja yang baik baik.Waktu tu, manalah saya ingat atau tahu akan bab bab perihal komputer ini. Sehingga lah saya mendirikan rumah tangga pada Ogos1986. Dan memasuki Tanah Rancangan Felda pada September 1988. Dan menetap lah saya di Felda ini hingga sekarang sebagai seorang PENEROKA.

             Hanya pada awal tahun 2001, barulah saya dapat membeli sabuah komputer, itu pun saya keluarkan duit dari KWSP yang di anjurkan oleh kerajaan. Dan sejak itulah saya mula berjinak jinak dengan komputer, tak kira siang atau malam, asal saja ada waktu kelapangan. Saya hanya belajar sendiri melalui buku buku, akhbar atau majalah atau dimana saja sumber yang boleh saya perolihi untuk mengendalikan komputer, termasuklah melalui internet. Saya tidak pernah pun pergi mana mana kursus atau belajar yang berkaitan dengan ilmu komputer ini. Berkat usaha, kecekalan, rajin dan tidak pernah jemu, akhirnya berjaya juga. Walaupun kejayaan saya ini tidak pernah di nilai atau di periksa oleh sesiapa. Tapi kini saya percaya akan kebolehan saya. Setakat ini saya boleh mengendalikan Microsoft Office, Internet, Scanner, Camera dan macam macam lagi. Saya juga boleh membaiki kerosakan komputer termasuklah memformat dan mengisi semula perisian Window dan pelbagai perisian lain. Ini semua gara gara komputer yang selalu rosak atau Jem. serik membawanya ke kedai untuk di baikpulih, saya berusaha sendiri membaikinya sehinggalah berjaya. Bukannya saya angkuh atau meninggi diri, tetapi yakinlah dengan kuasa ALLAH s.w.t, sesungguhnya usaha yang bersungguh sungguh itu pasti akan mendatangkan kejayaan.

              Disini saya menyeru dan berpesan pada adik adik dan anak anak khasnya. Belajarlah bersungguh sungguh, kerana pasti ia akan mendatangkan hasil yang membanggakan. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan kerja yang sungguh sungguh. Selain itu jangan lupa berdoa kepada ALLAH s.w.t dan bersyukur di atas setiap apa yang di anugerahkan NYA kepada kita.

              Akhir kata, BERUSAHA TERUS MAJU.