Banyak berzikir mudah dapat petunjuk
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Setiap orang inginkan ketenteraman hati dalam melalui hidup ini. Pada masa persoalan hidup bertambah kompleks dan beban masalah meningkat, ketenteraman hati menjadi semakin jauh dan sulit pula untuk diperolehi oleh insan yang mengharapkannya.

Salah satu sebabnya kerana kebanyakan manusia lebih menumpukan kepada kebendaan dan kepentingan peribadi masing-masing.

Bagaimana kompleksnya persoalan hidup dan semakin beratnya beban masalah, namun apabila dihadapi dengan roh keimanan kental disertai dengan amalan sentiasa mengingati Allah iaitu zikrullah dalam setiap detik kegiatan, perwatakan, pergaulan dan ibadatnya, nescaya ketenteraman hati akan mewarnai keceriaan hidupnya sepanjang masa dan keadaan.

Bukankah Allah memerintahkan setiap insan beriman agar sentiasa mengingati-Nya. Ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat Ku). – (Surah al-Baqarah,152)

Dalam surah lain, Allah berfirman maksudnya: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia.” – (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Jelas daripada mafhum ayat suci itu bahawa bagi mencapai hati yang tenang tenteram dan tidak bergundah gulana dalam mengharungi gelombang hidup adalah dengan memperbanyakkan zikrullah.

Dengan erti kata lain zikrullah hendaklah sentiasa mengingati Allah ketika suka atau duka, dalam sudut hati atau benak fikiran, melalui lisan dan amal perbuatan.

Menyentuh fadilat dan keistimewaan zikrullah ini, Allah ada memerintahkan setiap Muslim agar sentiasa berzikir kepada-Nya.

Ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman! (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waku pagi dan petang.” – (Surah al-Ahzab, ayat 41 - 42).

Baginda Rasulullah saw menggalakkan setiap Muslim merebut kesempatan hidup di dunia ini dengan memperbanyakkan amalan zikrullah sebagai tiket untuk memasuki taman syurga yang penuh kenikmatan.

Sabda Baginda bermakud: “Apabila kamu melewati taman syurga, hendaklah kamu ikut sama menikmatinya. Sahabat bertanya: Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah saw? Kata Baginda: Ialah perhimpunan zikir.” – (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan nas itu, dapat disimpulkan betapa amalan zikrullah amat digalakkan dalam Islam.

Selain itu, zikrullah dianggap di antara amalan yang menyerlahkan kesempurnaan identiti seseorang Muslim bertakwa. Ia adalah sebahagian ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan zikrullah dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah.

Pendek kata, zikrullah adalah petanda kepada bertakhtanya iman di sudut hati dan bebasnya seseorang Muslim daripada belenggu sifat nifaq dan fasik yang tercela.

Sebagaimana dijelaskan sebelumnya bahawa zikrullah hendaklah sentiasa mengingati Allah pada waktu suka atau duka, dalam sudut hati atau benak fikiran, melalui lisan dan amal perbuatan.

Ini kerana konsep zikrullah itu mempunyai pengertian luas, bukan sekadar menyebut Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini.

Malah membaca al-Quran dan menghayati isi kandungannya juga adalah zikir. Zikir itu maknanya ingat kepada Allah.

Dalam hal ini, apa saja cara yang menyebabkan kita boleh mengingati Allah, maka itu termasuk dalam pengertian zikir.

Oleh itu, apabila melihat pokok rimbun, lautan tiada bertepi, gunung-ganang dan alam keseluruhannya mencetuskan kesedaran hati mengenai kekuasaan dan kebesaran kuasa Allah hingga kita ingat kepada-Nya saja sebagai Tuhan Pencipta alam semesta, maka itu dinamakan zikir.

Begitu juga apabila mendengar rakan ditimpa musibah dan bencana, lalu kita insaf dan ingat kepada Allah memohon keampunan dan kesejahteraan daripada sebarang malapetaka di dunia dan akhirat.

Dengan perkataan lain, mengingati Allah dalam benak fikiran membawa maksud untuk menjulang satu idea, gagasan, norma, nilai peri laku yang terbilang selaras dengan tuntutan Islam melalui sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis.

Natijahnya, hasil pemikiran dan kesedaran kerohanian mendalam yang juga manifestasi daripada amalan zikrullah itu, akhirnya mendasari amanah seseorang manusia sebagai hamba dan khalifah Allah yang akan menyampaikan roh kerahmatan Islam kepada sekelian makhluk di alam ini.

Termasuk dalam skop zikrullah dalam benak fikiran ialah menyeru kepada makruf dan menegah daripada kemungkaran.

Dengan ini, barulah umat manusia dapat menikmati kehidupan dengan harmoni dan aman damai tanpa sebarang persengketaan dan peperangan.

Selanjutnya, memperbanyakkan puji-pujian, doa, istighfar, takbir, tahlil, tahmid dan seumpamanya adalah zikrullah secara lisan.

Jika seseorang Muslim kerap membasahkan lidahnya dengan zikrullah bermakna dia dapat mengelakkan diri daripada sifat keji, lagi tercela di sisi Islam seperti mengumpat, memfitnah, menyindir, berbicara kosong, berdusta dan bersaksi palsu.

Mengingati Allah dalam bentuk amalan perbuatan pula dapat dijelmakan melalui amalan soleh yang dianjurkan Islam sama ada di antara Muslim dengan Allah atau di antara Muslim dengan Muslim yang lain.

Antara amalan soleh yang menjadi lambang keteguhan iman dan kemantapan takwa ialah sedekah, infaq, zakat, solat sama ada fardu atau sunat, membantu golongan memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, memakmurkan masjid dan surau.

Amalan soleh itu akan mendekatkan darjat seseorang Muslim itu di sisi Allah. Perlu diinsafi bahawa zikrullah adalah amalan tradisi orang soleh dan bertakwa kepada Allah.

Bagi mereka, berzikir akan menjalinkan hubungan jiwanya yang erat dengan Allah pada setiap waktu.

Malah, dengan zikir menjadikan mereka sentiasa cergas, sihat dan bersemangat waja dalam menjunjung segala titah perintah Ilahi dan juga menjauhi segala larangan-Nya.

Apa yang lebih penting, mereka mengecapi ketenangan abadi memenuhi jiwanya yang sentiasa hidup dalam beribadat kepada Allah.

Semua ini adalah manifestasi daripada amalan zikir kepada Allah sebagaimana firman Allah taala maksudnya: “(Iaitu) orang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.

“Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang beriman dan beramal solih, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” – (Surah Al Ra’d, ayat 28-29)

Di samping itu, orang yang mengingati Allah memperolehi jaminan perlindungan Allah daripada sebarang gangguan dan godaan musuh utama manusia iaitu syaitan yang sentiasa mengintai peluang dan kesempatan untuk menjerumuskan manusia ke lembah kedurjanaan dan menderhaka kepada Allah.

Ini bermakna zikir berfungsi sebagai perisai membentengi seseorang Muslim daripada pengaruh syaitan. Allah menegaskan sendiri perkara ini dalam firman-Nya bermaksud:“Bahawasanya orang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan oleh syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah (berzikir), maka dengan itu mereka nampak (jalan benar).” – (Surah al-A’raf, ayat 201)

Orang yang tidak berzikir dan tidak mengingati Allah bererti jiwanya mati. Hatinya pula semakin keras dan semakin payah untuk menerima kebenaran cahaya Islam.

Akhirnya, dia menjadikan dirinya sebagai perangkap untuk diterjah dan dikuasai oleh syaitan dan iblis yang sentiasa mengarahkan pengikutnya untuk melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah.

Allah menjelaskan perkara ini dalam firman-Nya bermaksud: “Memerihalkan keadaan mereka dalam surah maksudnya:“Sedang saudara (pengikut) syaitan, dibantu oleh syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).” – (Surah al-A’raf, ayat 202)

Pernah satu ketika, seorang sahabat karib Rasulullah saw iaitu Ibnu Mas’ud didatangi oleh seorang lelaki, daripada raut wajahnya dan bayangan matanya dirundung duka nestapa.

Lantas lelaki itu berkata: “Wahai Ibnu Mas’ud! Berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk jiwaku yang gelisah ini.

“Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut, aku tidak lalu makan, tidurku pun tak lena. Mendengarkan hal itu, Ibnu Mas’ud terus berkata: Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu pertama, tempat orang membaca al-Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya baik-baik daripada orang yang membaca al-Quran.

“Kedua, majlis pengajian ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tulus ikhlas.”

Pengajaran daripada kisah itu ialah betapa zikir berupaya bertindak sebagai terapi kegundahan jiwa, di samping menghembuskan ketenangan hati dalam mengharungi pentas kehidupan yang penuh pancaroba.

Dengan memperbanyakkan zikrullah, insya-Allah kita akan memperolehi petunjuk daripada Allah dengan keimanan dan hati tenteram serta jiwa tenang, tidak gelisah, takut atau khuatir menghadapi cabaran hidup ini.

Ini kerana orang yang sentiasa mengingati Allah akan selalu melakukan perkara baik dan seterusnya mengecapi kebahagiaan dengan amalan kebajikan yang dilakukannya.


Sumber : emedia.com.my